Tuesday, June 23, 2020

Akan Datang: Novel Remaja (Anak-Anak Silimpopon)


Apa yang menarik tentang novel ini, ia ditulis berdasarkan realiti hidup masyarakat Borneo yang diperintah oleh Syarikat Borneo Utara British (SBUB). Siapa sangka, enam dekad sebelum mendapat kemerdekaan, Sabah pernah memiliki sebuah kawasan yang kaya dengan sumber galian arang batu. Kawasan yang diberi nama "Silimpopon" ini terletak di daerah Tawau, dan dikenali dengan jolokan "bandar yang hilang".

Novel yang menggunakan latar masa 1930-an ini melukiskan realiti kanak-kanak yang hidup di kota arang batu tanpa teknologi canggih. Hanya alam menjadi permainan mereka sehari-hari. Walaupun pelbagai cabaran harus di hadapi, namun kecekalan hati mengatasi segalanya.


Thursday, May 21, 2020

Ucapan Dedikasi


Bismillahirahmannirahim,

Anak-Anak Silimpopon merupakan novel yang bertemakan persahabatan dan sejarah. Novel ini ditulis bagi mengangkat  semula sejarah bandar Silimpopon yang pernah wujud di Borneo Utara pada tahun 1904 hingga tahun 1932. Ilham untuk menghasilkan novel ini lahir selepas mantan penyelia saya meminta saya untuk menulis sebuah novel yang memerlukan banyak kajian, tidak klise serta dapat memartabatkan sejarah, budaya dan bangsa masyarakat. 

Alhamdulillah, dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang telah banyak menyumbangkan ilmu, masa, nasihat dan wang sehingga terhasilnya novel ini. Terima kasih kepada ibu bapa saya dan penyelia saya, Prof. Madya Dr. Zairul Anuar Md Dawam. Semoga novel ini dapat melahirkan perasaan cinta akan tanah air dalam kalangan anak-anak muda sekali gus memberikan impak yang positif kepada setiap jiwa yang membacanya. 

Akhir kata, novel ini didedikasikan khas buat mantan penyelia saya yang tercinta iaitu Allahyarham Dr. Lokman Abdul Samad. Semoga kebaikan dalam novel ini mengalir buat dirinya. Aamiin.

Thursday, April 9, 2020

Sejarah Silimpopon Diadaptasi ke Novel


Anak-Anak Silimpopon merupakan sebuah novel remaja bertemakan sejarah yang dihasilkan oleh Nursyafiqah Binti Roslan (BA17110077) sebagai projek tahun akhirnya dalam program pengajian Seni Kreatif di Universiti Malaysia Sabah. Novel ini mengandungi 15 bab tidak termasuk prolog dan epilog dengan ketebalan 334 muka surat.

Dalam usaha untuk menyiapkan penulisan novel ini, terdapat beberapa progress yang dilakukan dan dimasukkan ke dalam media sosial seperti Instagram, Facebook dan YouTube (video). Progress tersebut termasuklah rekaan kulit buku, rekaan layout, pembahagian bab, sinopsis dan proses kajian yang dijalankan di perpustakaan.

Pada 22 Mac 2020 yang lalu, sebuah artikel yang menceritakan tentang proses penulisan novel ini telah pun diterbitkan dalam ruangan sastera akhbar Utusan Borneo.